Selasa, 24 Mei 2011

SINOPSIS BUKU SIRI 1 TAHUN 2011

SMK DATIN ONN JAAFAR

PROGRAM BACAAN

1 GURU 1 MURID 1 BUKU 1 MINGGU

1. Judul : Positive Child Guidance

2. Pengarang : Darla Ferris Miller

3. Penerbit : Delmar – The Thomson Learning.

4. Pembaca : Pn. Boo Chew Yen (Guru)

5. Tarikh : 1 April 2011

6. Sinopsis :

Buku ini sesuai untuk semua golongan pembaca terutamanya ibubapa dan pendidik.Di dalam buku ini mengandungi pelbagai strategi yang boleh membantu kanak-kanak menjadi lebih bertanggungjawab, hormat-menghormati dan sebagai ahli komuniti yang produktif.

Tingkahlaku yang akan setiap kanak-kanak lakukan juga dibincangkan di dalam buku ini. Lingkungan umur bagi kanak-kanak yang dibincangkan ialah sejak lahir hingga 12 bulan, 12 bulan hingga 3 tahun, 3 hingga 5 tahun, 5 hingga 8 tahundan 9 hingga 12 tahun. Tingkahlaku yang kanak-kanak lakukan turut dibincangkan seperti mengapa mereka rasa bosan, marah, tidak matang untuk mengawal perasaan diri dan konflik diri.

Strategi untuk menyelesai setiap tingkahlaku dibincangkan dalam buku ini. Buku ini membawa banyak faedah kepada semua ibubapa apabila mereka menghadapi masalah tersebut. Ibubapa seharusnya peka terhadap perkembangan anaknya dan menolong mereka untuk menghadapi pelbagai masalah yang akan timbul pada masa pertumbuhan. Ini kerana kanak-kanak bagai helaian putih yang perlu didikan dan dorongan.

SINOPSIS BUKU SIRI 1 TAHUN 2011

PROGRAM BACAAN

1 GURU 1 MURID 1 BUKU 1 MINGGU

1. Judul : Salju Sakinah

2. Pengarang : Zaid Akhtar

3. Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd

4. Pembaca : Cik Rohaya binti Ab. Samat

5. Tarikh : 11 April 2011

6. Sinopsis :

Salju Sakinah sebuah novel yang berkisarkan secebis kisah cinta namun tetap mesra dan padat dengan persoalan global dunia Islam, ekonomi, politik dan sosial. Novel Islamik ini menyorot ketabahan watak Sumayyah, iaitu siswi Malaysia di Universiti Yarmouk, Jordan yang berada di semester terakhir pengajiannya.

KISAH cinta memang enak dibaca. Namun tidak banyak kisah cinta yang dinovelkan berasaskan batas-batas cinta menurut Islam apalagi menyuntik wacana pemikiran yang seharusnya menjadi bekal sekaligus memperkaya jiwa pembaca. Lantas Salju Sakinah cuba menawarkan apa yang jarang-jarang ditawarkan selama ini.

Meskipun Salju Sakinah menjadikan wanita sebagai watak utama dan mengambil dua latar tempat yang jauh berbeza iaitu Jordan dan Malaysia, novel ini dengan sengaja mengetengahkan suasana kehidupan pelajar Malaysia di Timur Tengah selain konflik sosial seperti hasad dengki, fitnah-memfitnah serta kepercayaan khurafat dan ilmu sesat yang menjadi penyakit sebahagian masyarakat.

SINOPSIS BUKU SIRI 1 TAHUN 2011

PROGRAM BACAAN

1 GURU 1 MURID 1 BUKU 1 MINGGU

1. Judul : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad)

2. Pengarang : Dr. 'Aidh Bin Abdullah AlQarni

3. Penerbit : Al-Hidayah Publisher

4. Pembaca : Cik Mardhiana Binti Abdul Razak

5. Tarikh : 12 April 2011

6. Sinopsis :

Buku ”Jangan Bersedih” ini amat sesuai untuk dibaca oleh semua golongan peringkat umur kerana isi kandungannya mantap dengan huraian yang mudah untuk difahami. Buku ini sarat dengan unsur-unsur pengajaran yang berguna bagi membimbing pembaca dalam membuat sebarang keputusan. Buku ini merupakan hasil kajian bersungguh-sungguh dari penulis yang cuba menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan manusia antaranya keraguan, penderitaan, kesedihan, hilang harapan, dan sebagainya akibat daripada tekanan hidup.

Selain itu, buku ini turut memuatkan tips-tips penting tentang panduan dalam menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit melalui tuntutan cahaya wahyu, petunjuk ajaran Nabi dan panggilan fitrah kemanusiaan. Buku ini juga mengandungi pelbagai nukilan sejarah para sahabat terbaik, baik-baik puisi para penyair terkemuka, nasihat daripada para doktor dan pesanan para ahli hikmah.

Semuanya dirangkum dari pelbagai sumber media maklumat, berupa tulisan yang terdahulu, majalah, makalah dan beberapa media lainnya. Buku ini merupakan kumpulan pelbagai topik yang disusun rapi dan telah disaring serta dirangka. Ringkasnya, buku ini akan mengatakan kepada anda: "Bergembiralah, tenanglah, bersikap optimislah dan jangan bersedih".

SINOPSIS BUKU SIRI 1 TAHUN 2011

PROGRAM BACAAN

1 GURU 1 MURID 1 BUKU 1 MINGGU

1. Judul : Riba Bunga Bank Dan Persoalannya

2. Pengarang : Muhammmad Thalib

3.Penerbit : Darul Nu’man

4.Pembaca : Zalina binti Mahmud

5. Tarikh : 13 April 2011

6. Sinopsis :

Buku ini sesuai untuk semua golongan pembaca. Di dalam buku ini mengandungi 4 bab . Buku ini mengisahkan tentang:

a. Pengertian dan jenis-jenis riba serta perkara-perkara yang terlibat dengan riba.

b. Pendapat-pendapat ahli fikah moden tentang hutang-piutang ribawi.

c. Bentuk-bentuk transaksi haram dan penyelesaian masalah riba secara Islam.

Riba merupakan bahaya yang paling besar bagi kehidupan manusia kerana dapat merosak akhlak dan rohani. Manusia hanya mengutamakan keuntungan diri sendiri dan menghalalkan segala macam cara asalkan tujuan dan hasratnya tercapai .

Hindarilah riba kerana ia bukan membawa kepada keuntungan tetapi hanya membawa kebencanaan.

SINOPSIS BUKU SIRI 1 TAHUN 2011

SMK DATIN ONN JAAFAR

PROGRAM BACAAN

1 GURU 1 MURID 1 BUKU 1 MINGGU

1. Judul : Two Fish In A Bottle

2. Pengarang : Xie Zhi Hui

3. Penerbit : Odonata Publishing Sdn. Bhd.

4. Pembaca : Low Ah Huang (Guru)

5. Tarikh : 9 April 2011

6. Sinopsis :

Buku ini sesuai untuk golongan pelajar menengah. Ceritanya dimulakan dengan seorang pelajar Tingkatan 2 Shuang Ping. Ibu bapanya bekerja di Singapura. Shuang Ping tinggal di rumah neneknya bersama dengan emak saudaranya sekeluarga. Dalam kehidupannya setiap hari, dia disindir dan dibuli oleh abang sepupunya.

Shuang Ping lebih rapat dengan emak saudaranya. Dia menganggap emak saudaranya sebagai emak kandung sendiri. Dia akan bergaduh sahaja dengan emaknya sebaik sahaja mereka berjumpa.

Pada cuti sekolah, Shuang Ping menziarahi ibu bapanya di Singapura. Dengan tidak sengaja, dia mendapati bapanya ada kes luar nikah. Pada akhirnya, kedua-dua ibu bapa bercerai. Shuang Ping terpaksa mengikut emaknya pergi ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baru.

Shuang Ping terpaksa meninggalkan nenek, emak saudara, rakan-rakan di sekolahnya. Malangnya, dia tidak hidup bersama dengan emaknya. Pergaduhan selalu berlaku. Akhirnya, Shuang Ping meninggalkan emaknya.

Shuang Ping dan emaknya umpama dua ekor ikan yang tidak boleh hidup di dalam botol yang sama. Ini disebabkan perhubungan antara ibu dan anak mesti dipupuk sejak kecil lagi. Sikap toleransi perlu wujud antara kedua-dua anak dan ibu.

SINOPSIS BUKU SIRI 1 TAHUN 2011

PROGRAM BACAAN

1 GURU 1 MURID 1 BUKU 1 MINGGU

1. Judul : Fiqh Syafii Jilid 1

2. Pengarang : Hj Idris Ahmad S.H.

3. Penerbit : Pustaka Antara Sdn. Bhd.

4. Pembaca : Farha Binti Jamari

5. Tarikh : 13 April 2011

6. Sinopsis :

Buku ini amat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan semua golongan pembaca. Ianya merupakan sebuah buku yang lengkap dan mengandungi empat bahagian terpenting dalam fiqah Islam, iaitu bahagian Ibadat, Muamalat, Munakahat dan Jenayat. Buku ini juga disusun khusus untuk memberikan huraian yang jelas kepada semua umat Islam terhadap fiqah Islam. Isi kandungannya memberikan panduan yang tentunya berguna demi mengatur cara hidup seharian sesuai dengan kehendak syariat Islam.

Buku yang telah saya baca ini dihurai dan dibahaskan menurut pandangan mazhab Syafii, yang meletakkan hadith-hadith sohih sebagai teras untuk memantapkan keyakinan terhadap sesuatu amal yang dilakukan. Buku ini dapat membekalkan diri pembaca dengan akidah yang kukuh serta menghindarkan diri daripada keraguan dan persoalan.

SINOPSIS BUKU SIRI 1 TAHUN 2011

PROGRAM BACAAN

1 GURU 1 MURID 1 BUKU 1 MINGGU

1. Judul : Penenang Jiwa Pengubatan dan Rawatan

2. Pengarang : Muhammad Qaridun Nur

3.Penerbit : Wholesale- Mart Business Point Sdn Bhd

4.Pembaca : Noorsazila binti Mt Mazlan

5. Tarikh : 13 April 2011

6. Sinopsis :

Buku ini sesuai untuk semua golongan pembaca. Di dalam buku ini mengandungi 111 bab . Buku ini mengisahkan tentang manusia hanya akan beroleh ketenangan apabila fitrah atau rohaninya terisi, subur dan sihat. Yang dimaksudkan dengan kerohanian yang subur dan sihat ialah persediaan dan keteguhan hatinya untuk mengalahkan musuh-musuh batin, iaitu syaitan dan hawa nafsu. Musuh batin ini sangat sukar untuk ditumpaskan jika kita tidak mempunyai persediaan asas yang lengkap.

Oleh itu, hendaklah memperbanyakkan ibadah serta amalan-amalan sunat yang boleh membantu untuk meningkatkan diri di sisi Allah. Jadikanlah rasa kehambaan yang mendalam kepada Allah sebagai asas terhadap ibadah yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana-Nya.

Ia Maha Mengetahui akan segala rahsia-rahsia tersembunyi. Segala sesuatu yang di dalam hati manusia adalah milik-Nya jua. Berserahlah kepada-Nya untuk mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagian di akhirat.